Cyberjaya

Pemandangan Cyberjaya (2016)

Cyberjaya ialah sebuah bandar di negeri Selangor. Bandar ini terletak di bahagian barat Putrajaya dan kira-kira 50 km di selatan Kuala Lumpur. Keluasannya pula dianggarkan sekitar 2,890 hektar.

Pengangkutan

Lebuh raya: Cyberjaya memiliki akses mudah ke beberapa lebuh raya utama seperti E20 Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX), E6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), E26 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan E11 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Pengangkutan awam: Pelawat dan penduduk Cyberjaya boleh menggunakan perkhidmatan KLIA Transit untuk ke Cyberjaya. Hentiannya ialah Putrajaya/Cyberjaya.

Kemudahan Awam

Cyberjaya memiliki dua buah masjid, iaitu Masjid Raja Haji Fisabilillah dan Masjid Cyber 10.

Masjid Raja Haji Fisabilillah

Masjid Raja Haji FIsabilillah, Cyberjaya (2015)
Masjid Raja Haji FIsabilillah, Cyberjaya (2015)

Masjid ini terletak di Persiaran Semarak Api dan memiliki kapasiti untuk memuatkan seramai 8,300 jemaah. Berkonsepkan reka bentuk moden tanpa melupakan elemen tradisional. Penggunaan bahan tempatan seperti kayu dengan khat ayat al-Quran dan ukiran bunga. Rekaan yang disesuaikan dengan cuaca panas di Malaysia. Bagi menyejukkan kawasan masjid, pokok bunga cempaka, semarak api, teh dan frangipani turut ditanam di kawasan masjid.

Kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah bilik mesyuarat, dewan dan bilik seminar.

Pendidikan

Bandar ini memiliki beberapa universiti seperti Multimedia University (MMU), Limkokwing University of Creative Technology (LUCT), dan Cyberjaya Universiti College of Medical Sciences (CUCMS).

Antara sekolah yang ada di sini ialah SMK Cyberjaya, SK Cyberjaya, SJK(C) Union, Sekolah Seri Puteri dan Korean School of Malaysia, sekolah antarabangsa Korea yang pertama di Malaysia.

Sejarah

Bandar ini merupakan bandar terancang yang dirasmikan pada tahun 1997. Sebelumnya, bandar ini diliputi oleh tanaman kelapa sawit dan dikenali sebagai Prang Besar. Turut mengangkat konsep bandar hijau, Cyberjaya ialah salah satu komponen utama dalam Multimedia Super Corridor (MSC). Dalam MSC, terdapat dua bandar pintar, iaitu Putrajaya dan Cyberjaya. Master developer bagi bandar Cyberjaya ialah Setia Haruman Sdn Bhd.

17 Mei 1997: Tun Mahathir menurunkan tandatangan dalam majlis pecah tanah untuk pembangunan Cyberjaya.

Pentadbiran

Cyberjaya berada di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang). Pada 15 April 2008, MPSepang telah mengubah lokasi bangunan pentadbiran mereka ke Cyberjaya.

Rujukan

  1. Sejarah Sepang – Laman web rasmi MPSepang
  2. Cyberjaya – Ohbulan
  3. Pembinaan Projek Bandar Putrajaya & Cyberjaya oleh Noor Natasha – Prezi