Putrajaya

Putrajaya 2016-07-04 20.44.25

Putrajaya ialah sebuah wilayah persekutuan yang dikelilingi oleh negeri Selangor, Malaysia.

Putrajaya berfungsi sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Malaysia dan menempatkan banyak pejabat jabatan-jabatan kerajaan. Kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, Seri Perdana juga terletak di sini.

Tempat-tempat menarik di Putrajaya

Dataran Putra: Dataran Putra terletak betul-betul berhadapan dengan Masjid Putra di Presint 1. Tempat ini merupakan tarikan pelancong yang popular kerana sentiasa dilawati oleh para pelancong sepanjang hari. Selain daripada pelancong, penduduk tempatan juga gemar meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat masing-masing di sini.

Alamanda Shopping Centre: Sebuah pusat beli belah yang agak kecil, namun kedai-kedai popular ada di sini seperti gedung beli belah Parkson, restoran Nando’s dan kedai buku MPH.

IOI City Mall: Pusat beli belah ini terletak di bahagian utara Putrajaya. Walaupun namanya IOI City Mall, Putrajaya, namun kawasan sebenar IOI City Mall ini terletak dalam negeri Selangor.

Taman Warisan Pertanian: Taman ini dibangunkan untuk memelihara warisan dan pertanian Malaysia. Terdapat Kompleks Pelawat yang bercirikan seni bina tradisional Melayu di sini. Terdapat sebuah plot getah berkeluasan 9 ekar yang menempatkan tapak dusun di taman ini. Di sinilah kawasan asal ladang getah Estet Prang Besar, iaitu tapak awal sebelum pembangunan Putrajaya. Ladang getah ini mengandungi plot getah asal serta tanaman semula yang mengandungi 1,500 pokok getah dewasa dari 71 klon seperti RRIM600 dan PB260.

Masjid Putra: Masjid ini dibuka secara rasmi pada 9 Mac 1999. Nama masjid ini berasal daripada nama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, perdana menteri Malaysia yang pertama. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Dataran Putra, antara tempat menarik untuk dikunjungi di Putrajaya.

Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin: Masjid ini mula dibina pada 5 April 2004 dan diserahkan pengurusannya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 19 Ogos 2009. Masjid ini terletak di Presint 3. Masjid yang bernilai RM 200 juta ini boleh memuatkan 20,000 jemaah dalam satu-satu masa. Sebanyak 6,000 tan besi digunakan untuk pembinaan masjid ini, menjadikannya 70% daripada bahan binaan. Baki 30% lagi dibina dengan konkrit. Bahagian dewan solat utama pula tidak menggunakan kipas atau pendingin hawa. Sebaliknya, teknologi Gas District Cooling digunakan untuk penyamanan udara.

Bazar Ramadhan Putrajaya (hanya ada semasa bulan Ramadhan sahaja)

Pengangkutan Awam

Putrajaya Sentral: Sebuah hab pengangkutan intermodal yang membolehkan anda menggunakan perkhidmatan bas henti-henti Nadi Putra, KLIA Transit, Teksi / e-hailing, dan bas ekspres.

Sumber

  1. Taman Warisan Pertanian Putrajaya – Perbadanan Putrajaya