Ipoh

Papan tanda di Stesen Keretapi Ipoh

Ipoh ialah ibu negeri bagi negeri Perak, Malaysia. Bandar raya ini merupakan antara pembangunan yang terawal di semenanjung Malaysia. Penemuan bijih timah di Lembah Kinta membuatkan bandar Ipoh pesat berkembang, terutamanya sewaktu zaman pentadbiran British di Tanah Melayu pada abad ke-19. Apabila sumber bijih timah semakin habis sekitar tahun 1970-an, pembangunan di sini semakin perlahan. Kini, bandar raya ini terkenal dengan tempat-tempat bersejarahnya dan juga “street food” yang banyak dijual di pelbagai lokasi. Selain itu, bandar raya ini terkenal dengan gelaran “Bandar Bunga Kertas”, buah limau bali Tambun dan Gua Batu Kapur.

Sejarah Bandar Raya Ipoh

Lebih kurang 100 tahun lepas, bandar ini bermula dengan wujudnya perkampungan Melayu di tebing Sungai Kinta. Penemuan bijih timah di sekitar Sungai Kinta telah mencorak pembangunan pesat yang melanda bandar raya ini pada ketika itu.

British yang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu memainkan peranan besar dalam melengkapkan infrastruktur bandar Ipoh ketika itu. Sebagai pusat perlombongan bijih timah pada ketika itu, kemudahan sambungan pengangkutan seperti stesen keretapi dan lapangan terbang dipastikan berada dalam keadaan baik.

Pada tahun 1937, Ipoh telah dijadikan ibu negeri Perak, mengambil alih peranan Taiping pada ketika itu.

Dari segi jumlah penduduk (bancian 2010), bandar raya ini ialah bandar raya keempat terbesar di Malaysia, selepas Kuala Lumpur, Seberang Perai dan Pulau Pinang.

Jaringan Pengangkutan Awam

Bandar raya Ipoh memiliki sebuah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (IPH). Lapangan terbang kecil ini hanya boleh mengendalikan kapal terbang kecil sahaja memandangkan landasan terbangnya cuma 2,000 meter sahaja.

Sumber

  1. Sejarah Ipoh – Jabatan Perancangan Bandar – MBI
  2. List of cities and towns in Malaysia by population – Wikipedia