Kuala Lumpur

Kuala Lumpur 2016-12-03 19.22.38

Kuala Lumpur (KL) ialah sebuah wilayah persekutuan yang terletak di Malaysia. Kuala Lumpur juga dikenali sebagai ibu negara Malaysia. Sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, Kuala Lumpur menjadi ibu negara Malaysia sehingga satu tempoh antara lewat 1990-an hingga tahun 2005. Ketika tempoh itu, pentadbiran kerajaan persekutuan perlahan-lahan beralih kepada Putrajaya.

Sejarah

Kuala Lumpur berasal daripada tempat bertemunya Sungai Gombak dan Sungai Klang. Lokasi ini masih wujud sehingga sekarang. Tapaknya ialah di sekitar Masjid Jamek di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Tempat-tempat Menarik di Kuala Lumpur

Sebagai ibu negara Malaysia, KL memiliki banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Menara Berkembar Petronas

Mercu tanda utama bandar raya ini merupakan tempat paling popular di sini. Bangunan ini pernah menjadi bangunan paling tinggi di dunia pada satu ketika dahulu.

Di sini juga terdapat satu kompleks beli belah iaitu Suria KLCC.

Kampung Baru

Kampung Baru merupakan sebuah perkampungan Melayu yang terletak di di pusat bandar raya. Jika anda memasuki kawasan Kampung Baru, anda mungkin tidak percaya anda masih lagi berada di tengah-tengah bandar raya KL.

Kampung Baru digazetkan sebagai kawasan penempatan pertanian pada tahun 1900 untuk membolehkan kaum Melayu meneruskan tradisi kehidupan mereka dalam bandar. Kampung Baru juga merupakan tempat berpusatnya protes anti-penjajah ketika Perang Dunia Kedua. Selain dari itu, antara mesyuarat terawal yang diadakan oleh parti politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malays National Organisation / UMNO) juga diadakan di sini.

Masjid Jamek

Masjid Jamek atau nama rasminya Masjid Jamek Sultan Abdul Samad ialah antara masjid yang tertua di Kuala Lumpur. Masjid yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya ini dibuka secara rasminya pada tahun 1909.

Seni binanya direka bentuk oleh Pemangku Arkitek KL pada ketika itu, A. B Hubback. Reka bentuknya diinspirasikan oleh seni bina India Muslim Mughal.

Stesen Keretapi Kuala Lumpur

Stesen yang penuh bersejarah ini direka bentuk oleh A. B Hubback pada tahun 1908. Stesen ini dibuka pada 1 Julai 1911 dan hotelnya pula dibuka pada 11 Ogos 1911.

Tugu Negara

Tugu Negara ialah monumen yang dibina untuk memperingati jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan negara demi tanah air ini. Monumen ini terletak di Jalan Parlimen.

Petrosains

Galeri Sains Petroleum ini terletak di Tingkat 4, Menara Berkembar Petronas. Pelbagai pameran ditempatkan di galeri seluas 7,000 kaki persegi ini. Antaranya ialah Dark Ride, Space, Speed, Molecule Nano World dan 3D Theatre.

Pusat Sains Negara

Pusat Sains Negara (PSN) dibuka pada tahun 1996 dan dirasmikan oleh perdana menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Planetarium Negara

Jika Pusat Sains Negara bertujuan untuk meningkatkan minat masyarakat terhadap sains, Planetarium Negara pula mempunyai galeri sains khusus untuk meningkatkan minat masyarakat terhadap sains dan penerokaan angkasa lepas. Kemasukan ke galeri sains di sini adalah percuma.

Pavilion KL

Kompleks beli belah terkemuka ini terletak di kawasan Bukit Bintang. Dengan keluasan 1.37 juta kaki persegi, kompleks beli belah ini menawarkan pelbagai jenis ruang niaga. Antara peniaga yang terdapat di sini ialah gedung beli belah Parkson, kedai barangan makanan Mercato dan pelbagai jenis kedai pakaian dan fesyen.

Pengangkutan Awam

Terminal bas

Hentian Duta

Terminal Bersepadu Selatan (TBS)

Stesen keretapi

KL Sentral

Stesen Keretapi Angkasapuri

Stesen Keretapi Bandar Tasik Selatan

Stesen Keretapi Bank Negara

Stesen Keretapi Batu Caves

Stesen Keretapi Batu Kentonmen

Stesen Keretapi Kampung Batu

Stesen Keretapi Kepong

Stesen Keretapi Kepong Sentral

Stesen Keretapi Kuala Lumpur

Stesen Keretapi MidValley

Stesen Keretapi Putra

Stesen Keretapi Salak Selatan

Stesen Keretapi Segambut

Stesen Keretapi Sentul

Stesen Keretapi Seputeh

Lapangan terbang

Dari segi geografi, tidak ada lapangan terbang yang beroperasi dalam bandar raya Kuala Lumpur sekarang. Contohnya, lapangan terbang antarabangsa KLIA terletak di Sepang, Selangor manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah pula terletak di Subang, Selangor.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL)

Sumber

  1. Forum: Pengkisahan Sejarah Kuala Lumpur – Dato’ Ar Hajeedar Abd Majid, 20 April 2017
  2. Railway Station & Hotel, Kuala Lumpur (1911) – Arthur Benison Hubback Project
  3. 73 Tempat Menarik Di Kuala Lumpur (Terbaru 2020) | Destinasi Terbaik Di Ibu Kota – Mai Singgah, 27 Mac 2020