iPhone

Apple iPhone 8

iPhone ialah nama bagi telefon pintar yang direka bentuk dan dibuat oleh Apple.

iPhone yang pertama

iPhone yang pertama bagi Apple ialah iPhone (Generasi Pertama) yang dilancarkan pada 29 Jun 2007.

Walaupun dilancarkan di Amerika Syarikat pada bulan Jun 2007, peranti telefon pintar pertama Apple ini mula-mula diumumkan mereka pada 9 Januari 2007. Telefon pintar ini terdapat dalam dua kapasiti storan, iaitu 4 GB yang dijual pada harga USD $499 dan juga 8 GB yang dijual pada harga USD $599. Walau bagaimanapun, harga tersebut memerlukan pengguna untuk melanggan kontrak selama 2 tahun bersama AT&T, sebuah pengendali telekomunikasi popular di Amerika Syarikat.

Ketika pelancarannya, peranti ini menggunakan iPhone OS 1, yang juga diperkenalkan sebagai OS X. iPhone OS 1 mengandungi beberapa ciri menarik seperti Visual Voicemail, multi-touch gestures, capaian akses emel HTML, pelayar web Safari dan juga aplikasi YouTube.

Ketika pelancarannya juga, peranti ini dilihat sebagai peranti tiga dalam satu kerana terdapat fungsi pelayar internet, pemain muzik dan telefon dalam satu peranti.

Apple App Store

Konsep aplikasi mudah alih atau “app” ini diterjemahkan oleh Apple dalam pelancaran App Store pada 10 Julai 2008. Sehari selepas itu, iPhone 3G dilancarkan bersama sama sokongan App Store terbina dalam (built-in).

Untuk memelihara tanda niaga (trade mark) App Store, Apple bertindak dengan memohon U.S trademark untuk istilah “App Store” pada tahun 2008. Kerajaan Amerika Syarikat kemudiannya meluluskan permohonan ini pada awal tahun 2011.

Pembangun mobile app yang menerbitkan app mereka di App Store mempunyai pilihan berikut:

  • Menerbitkan app percuma
  • Menerbitkan app percuma dan disertakan iklan
  • Menerbitkan app percuma berserta “in-app purchases”
  • Menerbitkan app berbayar: Jika pembangun memilih opsyen ini, pelanggan tidak dapat menggunakan app tersebut selagi mereka belum membayarnya. Kebanyakan pembangun biasanya membangunkan app mereka menggunakan konsep freemium dan menggunakan “in-app purchases” untuk menjana pendapatan.

iPhone 8 dan 8 Plus

iPhone 8 dan iPhone 8 Plus dilancarkan pada 12 September 2017.

Peranti ini juga merupakan telefon pintar pertama dari Apple yang mempunyai kebolehan pengecasan tanpa wayar (wireless charging). Wireless charging ini menggunakan teknologi Qi, sebuah standard wireless charging yang diterima di serata dunia.

iPhone X

iPhone X (disebut sebagai iPhone Ten) ialah telefon pintar yang direka bentuk, dibangunkan dan dipasarkan oleh syarikat Apple. iPhone X diumumkan oleh Apple dalam sebuah Apple Event pada 12 September 2017, bersama-sama dengan iPhone 8 dan iPhone 8 Plus.

Peranti ini dilengkapi beberapa ciri terbaru yang unik seperti:

Skrin OLED: Walaupun sudah banyak telefon pintar jenama lain menggunakan skrin OLED, namun Apple masih lagi menggunakan teknologi IPS LCD bagi model iPhone yang lain. Walau bagaimanapun, untuk iPhone X, Apple menggunakan skrin OLED untuk memberikan imej yang lebih nyata dan juga berkontras tinggi.

Face ID: iPhone X merupakan telefon pintar pertama dari Apple yang menggunakan teknologi Face ID. Menurut Apple, Face ID memiliki ketepatan yang lebih tinggi berbanding Touch ID. Dengan Face ID, pengguna hanya perlu memandang kepada telefon pintar tersebut untuk menyahkunci (unlock).

Ciri-ciri menarik yang lain pula ialah Animoji dan Caj Tanpa Wayar (wireless charging)

Spesifikasi:

  • Unit Pemprosesan Utama (CPU): Apple A11 Bionic, 2.39 GHz hexa-core 64 bit
  • RAM: 3GB LPDDR4X
  • Kapasiti storan: 64GB dan 256 GB
  • Skrin: 5.8 inci Super Retina HD, AMOLED, resolusi 2436×1125 pixel (458 ppi)
  • Kamera belakang: 12 megapixel, aperture f/1.8 dwikamera, zum optikal 2x
  • Kamera hadapan: 7 megapixel, aperture f/2.2
  • Capaian rangkaian: GSM, CDMA2000, EV-DO, HSPA+, LTW, LTE Advanced
  • Kapasiti bateri: 3.81 V 10.35 W•h (2716 mAh) Lithium-ion
  • Kaedah pengecasan: Berwayar (melalui kabel Lightning) dan juga Tanpa Wayar (Qi Wireless Charging)
  • Model: A1865 (modem Qualcomm), A1901 (modem Intel), A1902 (model untuk jualan di Jepun)
  • Ukuran: Tinggi 143.6mm, panjang 70.9 mm, tebal 7.7 mm
  • Berat: 174 g
  • Ciri-ciri lain: Kalis air IP67

Penjualan iPhone di Malaysia

Peranti ini mula dijual di Malaysia pada bulan Mac 2009 melalui syarikat telekomunikasi Maxis.

Unlocked vs Locked: Jika di Amerika Syarikat, peranti ini akan dikunci dengan syarikat telekomunikasi spesifik. Sebagai contoh, jika anda membeli iPhone dengan syarikat AT&T pada harga bersubsidi sebanyak USD 199, anda sebenarnya sudah jimat beberapa ratus USD berbanding harga sebenar. Untuk mengelakkan pengguna bertukar kepada syarikat telekomunikasi lain, telefon tersebut akan “dikunci”.

Anda hanya akan dapat “unlock” peranti tersebut apabila tempoh kontrak dengan syarikat telekomunikasi berkenaan berakhir.

Di Malaysia, semua peranti iPhone bersifat “unlocked”. Ini membolehkan anda untuk menggunakan telefon pintar anda sekiranya anda ke luar negara dan ingin menggunakan kad SIM tempatan di negara yang dilawati.

Kini, pengguna boleh mendapatkan peranti ini dengan membeli terus dari Apple Store Malaysia ataupun mana-mana pengedar sah Apple di Malaysia seperti Switch dan Machines.

Jika anda memiliki peranti Apple, anda juga boleh mendapatkan khidmat pembaikan (repair) secara sah dari Apple dengan melawat laman web Apple dan melihat kepada pilihan yang ada untuk pembaikan. Sebagai contoh, kedai Machines di KLCC menawarkan perkhidmatan pembaikan peranti Apple anda pada harga tertentu.

Di Malaysia, terdapat juga perkhidmatan pembaikan lain yang memberikan harga yang lebih munasabah, terutamanya untuk rakyat Malaysia yang inginkan lebih nilai.

Sumber

  1. iPhone – Wikipedia