iOS

Apple Store Fifth Avenue

Apa itu iOS? iOS ialah sistem operasi (operating system, OS) bagi peranti mudah alih (mobile device) yang dibangunkan oleh Apple. iOS dibangunkan oleh Apple hanya untuk kegunaan peranti mudah alih Apple seperti iPhone, iPad (sebelum pengenalan iPadOS), dan iPod Touch. iOS mula dilancarkan pada 29 Jun 2007 dan sehingga kini terdapat dalam 40 bahasa.

Versi terkini iOS ialah 13.4.1. iOS keluaran terbaru biasanya akan dilancarkan setahun sekali.

iPhone OS 1

iPhone OS 1 diumumkan oleh Apple pada 9 Januari 2007 dan dilancarkan kepada umum beserta dengan iPhone pertama yang dilancarkan pada 29 Jun 2007.

Kemas kini

  • iPhone OS 1.1: Sokongan untuk peranti iPod Touch (generasi pertama)
  • iPhone OS 1.1.5: Versi terakhir iPhone OS 1

iPhone OS 2

iPhone OS 2 dilancarkan pada bulan Mac 2008 dan boleh dikemas kini oleh semua pada 11 Julai 2008. OS ini dilancarkan serentak dengan iPhone 3G.

Sokongan terhadap OS ini terhenti pada 3 Disember 2011.

iPhone OS 3

iPhone OS 3 dimumkan oleh Apple pada 17 Mac 2009. iPad pertama diperkenalkan bersama-sama iOS 3.2.

iOS 4

Apple mengumumkan berkenaan iOS 4 pada bulan Mac 2010 dan OS ini dilancarkan kepada umum pada 21 Jun 2010, bersama-sama dengan iPhone 4. Ketika ini, OS ini sudah tidak boleh dikemas kini untuk peranti iPhone (generasi pertama) dan iPod Touch (generasi pertama).

Sokongan untuk peranti iPhone 3G dan iPod Touch (generasi kedua) digugurkan semasa iOS 4.3 kerana isu prestasi peranti.

iOS 5

OS ini diumumkan oleh Apple pada 6 Jun 2011 semasa program Apple WWDC. Orang ramai boleh memuat turun OS ini bermula 12 Oktober 2011.Bermula dari versi OS ini, Apple menawarkan kemas kini tanpa menggunakan iTunes, iaitu over-the-air updates.

iOS 6

OS ini diumumkan oleh Apple pada 11 Jun 2012 ketika program Apple WWDC.

OS ini dilancarkan dan tersedia untuk orang ramai pada 19 September 2012, bersamaan dengan pelancaran iPhone 5, iPod Touch (generasi kelima) dan iPad (generasi keempat).

Sokongan untuk iPod Touch (generasi ketiga) dan iPad (generasi pertama) digugurkan atas isu prestasi peranti.

iOS 7

OS ini diumumkan oleh Apple pada 10 Jun 2013 semasa program Apple WWDC.

Pada 18 September 2013, OS ini tersedia untuk orang ramai, serentak dengan pelancaran iPhone 5C dan 5S.

Dalam versi ini, Apple menggugurkan sokongan untuk iPhone 3Gs dan iPod Touch (generasi keempat) disebabkan isu perkakasan dan prestasi peranti.

iOS 8

OS ini mula-mula diumumkan oleh Apple pada 2 Jun 2014. Kemudiannya, Apple melancarkannya pada 17 September 2014 bersama-sama iPhone 6 dan iPhone 6 Plus.

Untuk versi ini, Apple menggugurkan sokongan untuk peranti iPHone 4. Sebahagian pemilik iPad 2, iPhone 4S dan iPod Touch (generasi kelima) melaporkan wujudnya kelemahan prestasi pada peranti mereka.

iOS 9

OS ini mula-mula diumumkan oleh Apple pada 8 Jun 2015 di program Apple Worldwide Developers Conference (WWDC). Apple kemudiannya melancarkan OS ini pada 16 September 2015 bersama-sama iPhone 6S, iPhone 6S Plus dan iPad Mini 4.

Dengan pelancaran OS ini, tiada peranti yang digugurkan sokongannya oleh Apple.

iOS 10

OS versi ini mula-mula diumumkan oleh Apple pada 13 Jun 2016 di program Apple WWDC. Kemudiannya, Apple melancarkan OS ini pada 13 September 2016, serentak dengan pelancaran iPhone 7 dan iPhone 7 Plus.

Versi ini menyaksikan Apple menggugurkan sokongan untuk peranti iPhone 4S, iPad 2, iPad (generasi ketiga), iPad Mini (generasi pertama), dan iPod Touch (generasi kelima).

iOS 11

Sistem operasi ini diumumkan oleh Apple pada 5 Jun 2017 di dalam sebuah Apple Event, iaitu Apple Worldwide Developers Conference (WWDC) 2017.

Sistem operasi ini kemudiannya dilancarkan pada 19 September 2017, bersama-sama dengan iPhone 8 dan iPhone 8 Plus.

Ciri-ciri terkini

iOS 11 datang dengan beberapa ciri-ciri terbaru yang tidak ada dalam versi sebelumnya. Berikut dipaparkan beberapa ciri-ciri terkini iOS 11:

ARKit: Memandangkan Augmented Reality (AR) merupakan antara trend terbaharu dalam industri teknologi maklumat dan telekomunikasi, Apple telah memperkenalkan ARKit untuk memudahkan para pembangun aplikasi (app developer) untuk membangunkan app mereka.

Setup Automatik (Automatic Setup): Jika anda membeli iPhone, iPad atau iPod Touch yang baharu, proses setup menjadi lebih mudah, asalkan anda membawa peranti lama anda berdekatan dengan peranti baharu anda.

Imbasan Dokumen dalam Aplikasi Notes (Document Scanning): sistem operasi juga membolehkan anda mengimbas dokumen anda menggunakan fungsi kamera dalam peranti Apple anda. Apabile anda selesai mengimbas dokumen anda, anda boleh mengeksportnya dalam format PDF.

Do Not Disturb: Ciri ini membolehkan anda menyahaktifkan pemberitahuan (notification) peranti anda sekiranya anda didapati sedang memandu.

Aplikasi Files: Dengan aplikasi ini, anda boleh melihat dan menguruskan fail-fail anda sama ada di dalam peranti berkenaan mahupun dalam cloud.

64-bit: Dengan iOS 11, hanya aplikasi 64 bit sahaja boleh dijalankan di peranti. Sokongan terhadap aplikasi 32 bit telah dihentikan oleh Apple.

Kemas Kini

11.4: Kemas kini ini ialah kemas kini terbaharu daripada Apple. Pada 4 April 2018, Apple masih belum melancarkan iOS 11.4 kepada pengguna umum. Walau bagaimanapun, peserta bagi program “public beta” Apple boleh memuat turun iOS 11.4 Public Beta melalui peranti masing-masing.

iOS 12

Apple mula-mula mengumumkan OS ini ada 4 Jun 2018 di program Apple WWDC.

Kemudiannya, OS ini dilancarkan pada 17 September 2018 bersama-sama dengan iPhone XS dan iPhone XS Max.

Dengan versi ini, semua peranti disokong seperti mana versi sebelumnya.

iOS 13

OS ini mula-mula diumumkan oleh Apple pada 3 Jun 2019 pada program tahunannya, Apple WWDC.

Kemudiannya, OS ini dilancarkan kepada orang ramai pada 19 September 2019. Antara ciri-ciri terbaru yang diperkenalkan termasuklah Dark Mode dan juga sokongan untuk Memoji. Kerangka NFC juga kini menyokong beberapa jenis kad pintar contactless dan tag.

Bermula dari sini juga, tablet iPad mempunyai OS nya sendiri, iaitu iPadOS.

Sokongan untuk semua peranti yang mempunyai 1 GB RAM digugurkan. Ini termasuklah iPhone 5S, iPHone 6 /6 Plus, iPod Touch (generasi keenam), iPad Mini 2, iPad Mini 3, dan iPad Air.

Sumber

  1. Forbes – https://www.forbes.com/sites/amitchowdhry/2017/09/19/ios-11-features-2/#58e85ef768a9