Apple

Apple Store Fifth Avenue

Apple Inc. ialah sebuah syarikat multinasional (MNC) elektronik yang beribu pejabat di Cupertino, California, Amerika Syarikat. Apple ialah sebuah syarikat yang mereka bentuk, membangunkan dan menjual barangan elektronik kepada pengguna, perisian dan juga perkhidmatan atas talian (online services). Apple kini mempunyai 137,000 pekerja (pada tahun 2019).

Sejarah Syarikat Apple

Apple diasaskan pada 1 April 1976 oleh tiga orang, iaitu Steve Jobs, Steve Wozniak dan juga Ronald Wayne. Syarikat ini diasaskan untuk menjual komputer Apple I yang direka bentuk dan dibuat oleh Steve Wozniak. Dalam masa beberapa tahun sahaja, Steve Jobs dan Steve Wozniak mengambil pekerja tambahan untuk pereka bentuk komputer (computer designers) dan mempunyai production line.

Ronald Wayne mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat ini sebelum ianya ditubuhkan secara rasmi. Ketika ini, Steve Wozniak sibuk dengan urusan operasi syarikat dan penghasilan produk. Manakala Steve Jobs pula mengendalikan aspek pengurusan syarikat. Jobs membawa masuk Mike Markkula yang melaburkan sebanyak USD 250,000 untuk Apple. Mike menyertai syarikat ini sebagai pekerja No. 3 dan memegang syer sebanyak 1/3.

Apabila syarikat ini ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1977, Michael Scott dilantik sebagai presiden dan CEO pertama syarikat.

Akibat daripada beberapa siri pergolakan dalaman, Steve Jobs meninggalkan syarikat ini pada tahun 1985. Steve Jobs kemudiannya menubuhkan NeXT, sebuah syarikat yang menghasilkan komputer juga.

Pada tahun 1997, Steve Jobs kembali kepada Apple dengan menjadi Ketua Pegawai Eksekutifnya. Ketika ini, syarikat ini sedang mengalami kesukaran menguasai pasaran yang didominasi oleh Microsoft. Michael Dell juga pernah menyatakan sekiranya beliau di tempat Steve Jobs, beliau akan mengambil keputusan untuk menutup syarikat Apple dan mengembalikan wang kepada pemegang syer.

Pada tahun 1998, iMac dilancarkan. Steve Job melantik Jony Ive sebagai pereka bentuk utama untuk iMac. Pada tahun 2000, sistem operasi Mac OS X dilancarkan, menggantikan sistem operasi System 7. Sistem operasi ini diilhamkan daripada sistem operasi komputer NeXT. Pada tahun 2006, Apple mula menggunakan pemproses Intel dalam sistem mereka.

Kini, dengan nilai melebihi USD 1 trilion, syarikat ini merupakan syarikat ke-11 terkaya di dunia dengan pendapatan sebanyak USD 265 bilion (tahun 2018).

Produk

Apple menghasilkan pelbagai produk elektronik untuk penggunanya. Satu ketika dahulu, penawaran produk mereka kebanyakannya bersifat perkakasan seperti komputer meja, komputer riba dan pemain muzik. Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka meningkatkan penawaran perkhidmatannya. Anda perkhidmatan yang dapat kita lihat termasuklah iTunes Store, Apple Music, dan iCloud.

Produk dan perkhidmatan terbaru mereka biasanya akan diperkenalkan kepada umum melalui Apple Event. Produk-produknya pula diperkenalkan pada masa yang lebih kurang sama pada setiap tahun. Sebagai contoh, iPhone terbaru akan diperkenalkan pada bulan September setiap tahun.

Jika anda ingin melihat pola (pattern) berkenaan pengumuman produk atau perkhidmatan mereka, klik sini: Garis Masa Apple.

Berikut dipaparkan senarai produk Apple yang wujud di pasaran:

iPad: Sebuah peranti yang mempunyai skrin besar dan direka bentuk untuk interaksi secara sentuhan (touch)

iPhone: Telefon pintar yang pada asalnya bertujuan untuk menggabungkan fungsi pelayar internet (Safari), pemain muzik (iPod) dan telefon bimbit.

iPod: pemain muzik dan video mudah alih. Kini, hanya iPod touch yang dijual.

Macbook: Komputer riba. Antara model yang dijual ialah Macbook Air dan Macbook Pro. Macbook Air ialah komputer riba untuk pengguna biasa manakala Macbook Pro direka bentuk untuk pelanggan yang memerlukan kuasa pemprosesan dan feature yang lebih pada komputer mereka.

iMac: komputer meja (desktop)

Mac Pro: komputer meja (desktop) untuk kegunaan profesional

iCloud: Perkhidmatan storan awan (cloud). Kapasiti 5 GB disediakan percuma. Kapasiti tambahan boleh dilanggan dengan bayaran bulanan yang munasabah.

iOS: Sistem operasi

iPadOS: Sistem operasi (OS) untuk peranti iPad. OS ini boleh dikatakan spin-off untuk iOS.

Kejayaan Apple

Annual revenue tertinggi dalam dunia bagi sektor elektronik: Perolehan sedunia syarikat pada tahun fiskal 2018 ialah USD 265 bilion.

Pengeluar telefon mudah alih ketiga terbesar dalam dunia: Tempat ketiga, selepas syarikat Samsung dan Huawei.

Sumber

  1. History of Apple: The story of Steve Jobs and the company he founded – Nik Rawlinson, 25 April 2017, Macworld
  2. Apple just celebrated its 44th birthday. Here’s how it came to rule the world, from its early struggles to beat Microsoft to the launch of the iPhone – Matt Winberger, Avery Hartmans, 6 April 2020, Business Insider US