Adakah Aplikasi Gerak Malaysia Selamat?

Tangkap Layar Laman Web Gerak Malaysia

Apa itu Gerak Malaysia? Gerak Malaysia ialah sebuah aplikasi yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama beberapa syarikat telekomunikasi. Dengan penggunaannya yang wajib bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri, terdapat kegusaran dan persoalan dalam kalangan pengguna. Adakah aplikasi Gerak Malaysia ini selamat? Ikuti huraian dan kupasan kami selanjutnya.

Kenapa Gerak Malaysia dibangunkan? Aplikasi ini dibangunkan untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengeluarkan permit untuk perjalanan rentas negeri (interstate travel), terutamanya bagi rakyat Malaysia yang terkandas di luar kawasan tempat tinggal masing-masing.

Aplikasi ini boleh didapati dalam tiga platform popular, iaitu Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei AppGallery. Proses muat turun dan penggunaan data untuk aplikasi ini dikatakan percuma kerana syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia memberi data percuma sebanyak 1 GB sehari tanpa kekangan jenis penggunaan data.

Oleh kerana ramai rakyat Malaysia yang terkandas di kampung halaman masing-masing semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, semestinya PDRM menerima banyak permohonan untuk perjalanan rentas negeri. Akhbar Harian Metro pada 27 April 2020 melaporkan bahawa terdapat lebih 500,000 individu membuat pendaftaran aplikasi berkenaan dengan lebih 250,000 daripadanya memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Adakah Aplikasi Gerak Malaysia Selamat?

Jawapan pendek: Tidak pasti. Pendapat kami, ianya selamat kerana kita sudah berhadapan dengan sebuah kes kebocoran data sebelum ini dan pastinya SKMM akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kes ini tidak berulang lagi. Laman web The Rakyat Post juga telah menyiarkan pendapat seorang peguam berkenaan penggunaan aplikasi ini. Konklusinya ialah walaupun wujud kerisauan terhadap maklumat peribadi yang dikongsi dalam aplikasi berkenaan, namun untuk menjaga kesejahteraan masyarakat ketika menghadapi wabak COVID-19 ini, kita perlu juga menggunakan aplikasi berkenaan.

Sehingga kini, belum ada lagi sebarang audit bebas dilaksanakan terhadap aplikasi ini. Selain daripada itu, semakan di laman webnya juga tidak menemukan sebarang “source code”. Walaupun source code bukanlah kriteria wajib dalam menentukan sama ada sesebuah aplikasi selamat atau tidak, namun dengan menjadi lebih transparent dengan pengguna, mekanisma semak dan imbang (check and balance) dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Kita juga tidak tahu sekiranya wujud sebarang penglibatan pihak luar dalam proses pembangunan aplikasi ini.

SKMM pernah berhadapan dengan kontroversi besar pada tahun 2017 apabila portal Lowyat.net melaporkan terdapat kebocoran data peribadi melibatkan 46 juta akaun telefon. Data peribadi tersebut diuruskan untuk tujuan Public Cellular Blocking Service (PCBS) oleh syarikat kontraktor, Nuemera (M) Sdn Bhd.

Walaupun SKMM kemudiannya terus menamatkan kontrak dengan syarikat berkenaan, tidak ada maklumat lanjut berkenaan siasatan kes berkenaan. Sehingga ke hari ini, kita tidak mengetahui siapakah yang masih mempunyai data-data peribadi 46 juta pelanggan akaun telefon berkenaan.

Baca lagi

Bagaimana menjaga password anda: Tips Keselamatan Kata Laluan

Susah untuk mengingat password? Gunakan LastPass: Apa Itu LastPass

Zoom App: Selamat atau tidak? Aplikasi Zoom Selamat Atau Tidak?

Sumber

  1. MCMC terminates firm linked to massive data leak – The Star, 16 Oktober 2019
  2. Utama – Gerak Malaysia
  3. Worried About Your Data While Using Gerak Malaysia? We Asked A Lawyer About It – Hakim Hassan, The Rakyat Post, 30 April 2020

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.