PKP Fasa Keempat (4): Maklumat Penting Yang Anda Perlu Tahu

Dalam artikel kali ini, kami ingin berkongsi dengan anda berkenaan beberapa maklumat penting yang anda perlu tahu berkenaan PKP Fasa Keempat (4).

Dalam perutusan khas yang dibuat pada 23 April 2020, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan beberapa perkara. Antara perkara penting yang diumumkan ialah pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi, iaitu bermula pada 29 April 2020 sehingga 12 Mei 2020.

Kemas kini: PKP fasa keempat berakhir pada 3 Mei 2020. Mulai 4 Mei 2020 hingga 12 Mei 2020, PKP Bersyarat (PKPB) diperkenalkan.

Berikut dipaparkan beberapa perkara penting berkenaan PKP fasa keempat yang anda perlu tahu:

Pergerakan Pulang Pelajar Institut Pengajian Tinggi

Terdapat hampir 100,000 pelajar kini terkandas di pelbagai kampus institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara. Memandangkan mereka sudah lama berada di kampus masing-masing, kerajaan sedang merangka proses perjalanan untuk membawa mereka pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah melancarkan portal pergerakan pulang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) ke rumah masing-masing.

Portal tersebut boleh diakses di alamat https://iptpulang.malaysia.gov.my/kpt/. Kebenaran pulang ini perlu diisi sebelum jam 11:59 malam, 29 April 2020.

Kebenaran Pulang Ke Rumah Masing-masing

Rakyat Malaysia yang terkandas di kampung masing-masing atau mana-mana tempat lain ketika PKP fasa pertama mula dilaksanakan boleh membuat permohonan perjalanan sehala untuk pulang ke rumah masing-masing.

Cara Memohon Perjalanan Rentas Negeri Menggunakan Aplikasi Gerak Malaysia

  1. Mereka boleh membuat permohonan perjalanan merentas negeri (inter-state travel) melalui aplikasi mudah alih (mobile app) Gerak Malaysia bermula 26 April 2020.
  2. Kemudiannya, pada 29 April 2020, mereka perlu mengesahkan perjalanan mereka.
  3. Status permohonan akan diberikan bermula pada 1 Mei.
  4. Perjalanan hanya boleh dibuat dalam tempoh tiga hari sahaja, iaitu 1 Mei hingga 3 Mei 2020.
  5. Sesiapa yang tidak memiliki aplikasi Gerak Malaysia boleh menghantar permohonan bertulis untuk kebenaran perjalanan di mana-mana balai polis berdekatan. Walau bagaimanapun, prioriti akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia.

Baca lagi: Adakah Aplikasi Gerak Malaysia Selamat?

Terdapat beberapa peraturan tambahan di hentian Rehat & Rawat (R&R). Antaranya ialah pengguna tidak dibenarkan berada di luar kenderaan kecuali untuk menggunakan tandas. Medan selera juga tidak dibuka. Stesen minyak hanya akan dibuka dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Waktu Operasi Pasar Raya

Waktu operasi bagi kedai runcit, pasar raya (supermarket, hypermarket) dan kedai-kedai lain yang dibenarkan beroperasi adalah sama seperti fasa sebelum ini. Untuk mengetahui waktu operasi pasar raya berhampiran dengan rumah anda semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, sila ke pautan berikut:

Waktu Operasi Pasar Raya Ketika PKP

Pasar raya yang dimuat naik maklumatnya di sini termasuklah Giant, Tesco, AEON Supermarket dan AEON Big.

Sektor Yang Dibenarkan Beroperasi

Kerajaan juga mengumumkan terdapat beberapa sektor tambahan yang mungkin dibenarkan beroperasi sewaktu PKP fasa keempat ini.

Kerajaan masih dalam proses pertimbangan untuk memberikan kelonggaran ini dan keputusan akan dibuat setelah meneliti data terbaru berkenaan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Jadual Pengangkutan Awam

Berikut dipaparkan jadual pengangkutan awam bagi perkhidmatan-perkhidmatan RapidKL: Jadual RapidKL LRT, MRT dan KL Monorail Sepanjang Bulan Ramadan 1441H (2020)

Sumber

  1. MCO: Inter-state travel permits applicable via ‘Gerak Malaysia’ from tomorrow – Bernama, 25 April 2020
  2. Kementerian Pengajian Tinggi Melancarkan Portal Khas Untuk Pelajar IPT Memohon Pulang Ke Rumah – Effi Saharudin, Amanz, 28 April 2020

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.